BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 26 November 2011

Apa erti hijrah ini?

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, Allah masih izinkan kita untuk bernafas di muka Bumi ini. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. 

Kini kita berada pada fasa awal tahun Islam. Fasa di mana kita mentajdid niat. Memperbaharui niat kita pada tahun ini. Memperbaharui nita ini bukanlah sekadar kita masuk tahun baru, niat pun baru. Niat ini merupakan keazaman, iaitu apa yang akan kita lakukan. Bukan bermakna sekali sahaja kita berniat. Sebelum kita melakukan sesuatu amalan, kita perlu pasang niat. Paling penting di sini, niat kerana Allah Ta'ala. 

Tujuan memasang niat adalah supaya kita dapat tahu apa yang akan kita buat. Sempena dengan Tahun Baru Hijrah 1433, marilah sama-sama kita hayati saat-saat perjuangan Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah. Bagaimana baginda dan sahabat-sahabat menempuhi rintangan sepanjang menyebarkan ajaran Islam.

Sahabat memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat hijrah Rasulullah S.A.W. Baginda tidak dapat melakukan proses hijrah seorang diri. Baginda memerlukan sahabat karib, Abu Bakar As-Siddiq sebagai peneman sepanjang penghijrahan baginda. Lihat pula Saidina Ali, yakni sepupu, menantu, dan sahabat Rasulullah juga bertindak sebagai orang penting. Saidina Ali tidur di tempat tidur baginda untuk mengaburi mata kafir Quraisy. 

Jika kita selidiki semula bagaimana dan kenapa Rasulullah dan sahabat-sahabat melakukan perkara ini dan sebagainya, kita boleh mengambil iktibar bahawa perancangan Allah itu Maha Hebat. Walaupun pelbagai rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh mereka, namun dengan semangat memperjuangkan Islam, mereka tidak berundur. Lihatlah hasilnya sekarang. Islam tersebar di merata-rata tempat, di seluruh dunia.

Motivasi yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W kepada sahabat-sahabat membakar semangat mereka memperjuangkan Islam. Rugilah sekiranya kita mensia-siakan tenaga dan masa yang ada. Gunakanlah sebaik-baiknya untuk kemaslahataan ummah di dunia ini. Sama-samalah kita bersedia untuk berhijrah. Perubahan itu bukan satu pilihan, tetapi satu kemestian. 

Rasulullah pun perlukan sahabat, apatah lagi kita.~~!

0 comments: